Masalah kerak minyak mengganggu kelancaran prestasi enjin.
Pembentukan kerak minyak sukar untuk dikesan dengan mata kerana enapan ini berada di bahagian dalamanan enjin. Di peringkat awal, kerak minyak hanyalah berbentuk jeli yang melekat pada komponen-komponen enjin. Jika terus dibiar tanpa dibersihkan, lama-kelamaan pembentukan jeli ini akan membentuk ketulan kerak yang lebih pejal.
Pembentukan kerak minyak boleh menyumbatkan saluran minyak pelincir yang saiznya agak kecil, kebanyakan saluran minyak enjin berdiameter 3mm sahaja. Jika pembentukan kerak minyak ini berlaku di dalam saluran ini, sudah pasti kitaran minyak pelincir ke seluruh enjin akan terganggu.
Pada mulanya prestasi enjin dalam keadaan yang tiptop. Selepas mula kerak minyak membentuk di dalam enjin, pemanduan beruban menjadi lebih berat. Kuasa pecutan makin hilang ditambah dengan bunyi enjin yang agak kasar.
Apakah faktor yang menyebabkan pembentukan kerak minyak?
Faktor utama yang menyebabkan masalah pembentukan kerak minyak adalah dari kelalaian pemilik kenderaan itu sendiri ketika memilih gred yang betul dan tidak patuh pada jadual servis enjin. Pembentukan awal kerak minyak pasti dapat diatasi sekiranya pemilik kenderaan sentiasa patuh pada jadual servis dan gred minyak enjin yang disyorkan oleh pengeluar.
1. Lalai menjaga jadual servis enjin!
Pengeluar minyak enjin telah pun membuat kajian tentang ketahanan sesuatu minyak enjin dengan tempoh enjin beroperasi. Sebagai contoh minyak enjin fully synthetic perlu diganti setiap 10,000km atau dalam tempoh 6 bulan adalah jangka hayat pelincir itu beroperasi dengan efisyen.
Jika minyak enjin ini masih lagi digunakan selepas mencapai tempoh penggunaannya, kelikatan pelincir akan mula berubah menjadi lebih likat. Kebolehan untuk merawat dan mengawal suhu yang panas juga akan makin merosot. Selepas itu, minyak enjin akan mula teroksida sedikit demi sedikit dan membantuk enapan minyak yang lama-kelamaan akan menjadi kerak yang degil.
2. Tersilap dalam pemilihan gred minyak enjin!
Ramai pemilik kenderaan di luar sana tidak peka dengan pemilihan gred minyak enjin. Kebanyakan dari mereka hanya serahkan seratus peratus hal minyak enjin pada mekanik yang bertugas. Sebagai pengguna kita perlu tahu asas pemilihan gred minyak enjin supaya jangka hayat enjin dapat dipanjangkan tanpa perlu mengeluarkan kos baik pulih di masa akan datang.
Rujuk pada buku panduan kenderaan untuk kepastian tentang gred minyak enjin yang bersesuaian. Jika masih tidak jumpa, anda hanya perlu membuat carian di internet sahaja. Sudah tentu ada laman web atau blog yang telah membuat perkongsian tentang gred minyak enjin untuk model kenderaan anda.
Pemilihan gred yang tidak mengikut spesifikasi enjin akan meninggalkan kesan negatif untuk 2 ke 3 tahun akan datang. Tindakan anda memilih gred minyak enjin yang tidak tepat di masa sekarang boleh merisikokan komponen dalaman enjin di masa akan datang.
Jangan menyesal di masa akan datang
Penyelenggaraan enjin yang kita jaga di masa sekarang boleh menyelamatkan kewangan anda dari menanggung kos membaik pulih enjin di masa akan datang. Jadi, adakah anda sanggup untuk menanggung kos overhaul enjin sebanyak RM1,000 – RM2,000 untuk 3 tahun akan datang?
Pilihan di tangan anda! Pastikan pilihan itu nanti tidak membuatkan anda rasa kesal dan terkilan kemudian hari.
0 Comments