Tangguh jadual servis enjin penyebab kuasa enjin makin merosot.
Bercakap tentang penggunaan kereta dan keadah terbaik untuk menjaga kenderaan, semua pastinya setuju yang bahagian enjin adalah bahagian yang kerap kali diberi penekanan. Ini kerana enjin diumpamakan sebagai jantung kenderaan yang melibatkan bermacam-macam komponen dan bendalir untuk membolehkannya beroperasi dengan lancar.
Untuk memastikan kenderaan anda sentiasa berada di prestasi yang terbaik banyak kaedah yang boleh diimplimentasikan dan salah satunya adalah dengan mengikuti jadual servis enjin anda. Tiada satu angka tepat bila nak dikatakan enjin anda perlu diservis jadi kiraan yang paling mudah adalah pada setiap 10,000km atau pada setiap 6 bulan. Mana-mana yang berlaku dahulu. Tetapi jika kereta anda sememangnya sudah mempunyai simptom kerosakan mungkin anda perlu lebih kerap lagi untuk membuat pemeriksaan pada enjin.
Kaitan Pelincir Dengan Operasi Enjin
Ada pelbagai faktor yang akan menyebabkan enjin anda tidak berfungsi pada tahap yang terbaik, isu seperti kekurangan minyak hitam, dan enjin ‘overheat’ dan macam-macam lagi boleh jadi faktor utama. Selain isu yang dinyatakan di atas, isu kekurangan minyak pelincir boleh mengakibatkan enjin anda berbunyi, haus dan rosak.
Pelincir merupakan bahan (biasanya dalam bentuk cecair), yang diletakkan sebagai lapisan antara dua komponen bergerak untuk mengurangkan geseran yang berlaku. Apabila kurang geseran yang berlaku, kurang juga haba panas yang terjadi, dan dapat mengelakkan komponen anda daripada haus atau pun membuat bunyi bising.
Mekanik anda atau pomen kebiasaanya akan menambah atau menukar (jika perlu) minyak pelincir anda bergantung kepada keadaan enjin kereta anda. Enjin dapat beroperasi pada tahap optimum jika komponennya sentiasa dilapisi pelincir dan dapat memastikan enjin anda dapat digunakan pada tempoh yang panjang.
Setiap Kualiti Minyak Enjin Berlainan Tempoh Servisnya
Minyak enjin mempunyai kualiti yang berbeza yang berpadanan dengan enjin kenderaan dari aspek kepekatan, kelikatan, ketahahanan pada haba, dan lain-lain lagi. Anda boleh kenal ini melalui jenis sintetik minyak enjin sama ada ia ‘full-syntethic’ atau ‘semi-synthetic’ dan dari segi jenis kelikatan minyak enjin 10W-30, 15W-30 dan lain-lain lagi.
Perbezaan ini dan semestinya kaedah penggunaan enjin anda yang akan menentukan kekerapan servis minyak enjin anda.
Kebanyakkan kenderaan meletakkan indikator 10,000km atau tempoh setahun sebagai penanda aras. Walaubagaimanapun, ada sesetengah senario yang memerlukan anda untuk servis enjin kereta anda pada setiap 7,000km atau 5,000km.
Jika kereta anda digunakan dengan cara berikut anda mungkin perlu servis minyak enjin dengan lebih kerap:
- Perjalanan biasa pada suhu yang normal dan rendah. Minyak enjin anda mungkin tidak cukup panas untuk mendidihkan pemeluapan lembapan.
- Perjalanan yang kerap berhenti di bawah suhu yang panas.
- Perjalanan di dalam kondisi jalan yang berlumpur atau tidak rata.
Bergantung pada kondisi kenderaan kereta anda. Jika kereta anda telah digunakan pada satu tempoh yang panjang kemungkinan berlaku sedikit kehausan pada komponen enjin menyebabkan komponen yang terlibat mengalami sedikit kelonggaran. Isu ini tidaklah memerlukan anda untuk menukar terus enjin, tetapi masalah ini boleh diselesaikan dengan memilih gred minyak enjin yang lebih likat.
Kelikatan Pelincir Untuk Setiap Gred Tidak Sama
Kelikatan bermaksud rintangan cecair kepada aliran. Gred untuk kelikatan pelincir adalah berbeza kerana ia diukur berdasarkan suhu enjin mula beroperasi.
Jadi, manakah minyak enjin yang terbaik untuk kereta anda? Jawapannya bergantung pada kenderaan apa yang anda gunakan. Setiap kenderaan mempunyai gred minyak yang tersendiri bergantung kepada model enjin anda dan suhu kawasan anda. Apa pula yang akan berlaku jika anda tersalah letak minyak enjin, adakah kereta anda akan berhenti berfungsi?
Jawapannya boleh jadi YA… dan boleh juga dikira TIDAK.
Perbezaan yang ketara yang anda boleh rasa adalah ketika memandu, kenderaan berasa terlebih berat atau terlebih ringan terutamanya ketika anda sedang menekan ‘throttle’. Ini boleh berlaku kerana rintangan cecair pelincir telalu kuat ataupun terlalu ringan. Dalam tempoh masa yang panjang ia akan memberi kesan pada operasi enjin anda dan juga akan memberikan kesan pada pemanduan anda.
Sentiasa Rujuk Buku Manual Kenderaan
Jika anda tertanya-tanya apakah jadual servis enjin saya, ataupun apa minyak enjin yang terbaik untuk kenderaan saya. Jawapannya adalah, anda perlu rujuk buku manual kenderaan anda.
Semua informasi yang berkaitan tentang waktu servis, kaedah penjagaan, rutin yang boleh dilakukan, minyak enjin yang bersesuaian dan isi padu tayar yang sesuai semua boleh didapati di buku manual kenderaan anda.
Bagi anda yang baru sahaja mendapat kenderaan pertama anda, sangatlah disarankan untuk meletakkan buku manual kenderaan anda sentiasa di dalam kereta anda. Dalam buku manual tersebut anda akan dapat informasi-informasi seperti cara menyemak takat bendalir, akses pada data teknikal seperti saiz enjin kereta anda dan dimensinya dan yang paling penting maksud lampu-lampu amaran yang ada.
Kesan Buruk Akibat Kerap Skip Jadual Servis
Seperti yang telah dinyatakan di atas, setiap pemilik kenderaan perlu menghantar kenderaan mereka untuk diservis. Dengan mematuhi jadual servis kenderaan anda, anda dapat menikmati pemanduan kenderaan pada tahap yang terbaik. Akan tetapi, adakah itu sahaja fungsi kenderaan anda diservis? Jawapannya, tidak! Selain dapat mengoptimumkan prestasi kenderaan anda ia juga dapat mengelakkan perkara yang tidak diingini berlaku. Berikut adalah kesan buruk jika anda kerap skip jadual servis anda:
- Membahayakan diri anda dan penumpang – Bayangkan situasi kenderaan anda hilang kawalan atau berhenti berfungsi ditengah-tengah jalan. Bukan sahaja kereta di sekeliling bergerak laju malah mungkin boleh berlaku kemalangan jika pemandu lain tidak dapat menjaga jarak antara kenderaan.
- Nilai Pasaran Akan Berkurang – Tiada siapa mahu beli kenderaan yang rosak setiap bulan. Jadi jika kenderaan anda tidak dijaga atau kerap diservis ia akan menambahkan kerosakan-kerosakan yang boleh dielakkan yang secara langsung akan menurunkan nilai pasarannya.
- Jangka Hayat Yang Rendah – Kereta yang tidak dijaga rapi waktu servisnya, akan mengurangkan hayat kenderaan. Kereta yang baik boleh mencapai jangka hayat hingga ke 20 puluh tahun, tetapi jika kenderaan tidak dijaga dengan baik ia akan mula menunjukkan masalah-masalah beberapa tahun sahaja selepas pembelian.
Kesan Buruk Pada Prestasi Enjin
Enjin yang merupakan nadi kenderaan anda akan mula menunjukkan simptom-simptom kerosakkan jika enjin anda tidak diservis pada tempoh yang sepatutnya. Seperti yang dinyatakan di atas, enjin kenderaan perlu sentiasa dipantau keadaan komponennya, kuantiti bendalirnya dan prestasinya secara keseluruhan.
Jadi apa yang akan berlaku pada enjin anda jika anda tidak mematuhi jadual servis enjin anda:
- Enjin akan mula mengeluarkan bunyi seperti meragam. Ini kerap kali berlaku, apabila anda hidupkan enjin anda akan mendengar bunyi daripada enjin. Ia disebabkan oleh minyak anda telah kotor menjejaskan tugasan pelincir anda secara tidak langsung mengeluarkan bunyi.
- Bau terbakar! Panik bukan jika kenderaan anda bau terbakar. Ini adalah kesan daripada minyak enjin anda yang terlalu panas dan minyak anda sedang terbakar dalam sistem ekzos.
- Minyak hitam berkilat dan lampu ‘check engine’ menyala. Jika kenderaan anda lama tidak diservis dan masih lagi menggunakan minyak enjin yang sama, pelincir ini akan bertukar menjadi warna hitam berkilat akibat hadirnya bendasing di dalam sistem enjin anda. Lampu ‘check engine’ pula akan menyala sekiranya sukatan minyak telah kurang ataupun ada masalah enjin yang agak serius secara keseluruhannya.
Kesan Buruk Pada Komponen Dalaman Enjin Akibat Lambat Servis Enjin
Terdapat banyak komponen yang ada di dalam sesebuah enjin antaranya adalah ‘cylinder head’, ‘cylinder block’, ‘piston’, ‘timing belt’ dan sebagainya. Kecekapan komponen-komponen ini juga akan terjejas sekiranya enjin tidak diservis mengikut.
Misalnya untuk enjin jenis lama yang masih menggunakan karburator, kemungkinan besar karburator berisiko untuk tersumbat. Saluran karburator adalah kecil dan perlukan nisbah yang tepat sebanyak 2:1 antara minyak dengan udara. Enjin yang tidak diservis boleh mengakibatakan karburator mudah tersumbat menyebabkan kenderaan menjadi semput semasa dipandu.
Seterusnya ‘cylinder head’, enjin yang lama tidak diservis akan mengakibatkan ‘cylinder head’ penuh dilaputi dengan enapan karbon yang melekat pada tempat yang tidak sepatutnya seperti injap, plug, ruang pembakaran dan saluran ekzos yang boleh mengganggu kuasa output enjin.
Akhir sekali untuk ‘timing belt’, komponen ini bukan boleh digunakan sampai bila-bila. Ia adalah komponen pakai buang yang perlu diganti setelah sampai jarak atau tempoh penggunaannya seperti yang dinyatakan dalam buku manual kenderaan anda. Jika ‘timing belt’ tidak ditukar mengikut jadual, ia berisiko untuk membuatkan injap menjadi bengkok atau patah. Pastikan juga permukaan timing belt tidak merekah atau berminyak!
Penghujung kata dari kami… anda perlu menjaga kenderaan dengan teliti dan pastikan kenderaan anda diservis tepat pada waktunya. Ini untuk memastikan kenderaan anda sentiasa dalam keadaan yang baik dan selamat untuk digunakan, selain dari dapat mengurangkan kos membaikpulih kenderaan di masa akan datang.
0 Comments